Hari Pertama: Jumaat (14/05/2010)
Pendaftaran bermula pada jam 4.30 petang disebabkan kelewatan pelajar lelaki sampai ke Kem Lembah Genting dan diteruskan dengan sesi taklimat dari penyelaras kem dan pengurus kem. Seramai 55 orang pelajar iaitu 28 pelajar lelaki dan 27 pelajar perempuan yang terdiri dari Badan Wakil Pelajar (BWP), Lembaga Displin Pelajar (LDP), Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), dan Ahli Pusat Sumber Pembelajaran (PSP). Aktiviti kepimpinan satu diteruskan dengan ice-breaking dan pembentukan kumpulan oleh Cik Rosfariza kaunselor 1 MRSM FELDA.
Pelajar lelaki menyusun barang-barang ke dalam dorm, solat Asar dan makan malam pada jam 6.30petang, aktiviti diteruskan dengan perlantikan penghulu dan penghuluwati , penghulu kem ialah saudara Mohd Asyraaf Bin Rosli dari BWP dan Penghuluwati ialah Saudari Sarguna Devi juga dari BWP. Seterusnya setiap kumpulan diarahkan untuk mencipta logo dan cheer kumpulan. Setiap kumpulan diberi biskut sebagai barang amanah yang perlu dijaga sehingga tamat kem. Barang amanah perlu dijaga dari dicuri, rosak dan dibawa ke mana sahaja sebagai satu latihan untuk pemimpin menjaga amanah.
Pada jam 7.45 malam, aktiviti diteruskan dengan taklimat dari kem komandan dari guru MRSM FELDa yang juga merangkap Ketua Keselamatan Kem iaitu En. Nor Idham. Slot berkisar tentang peraturan yang perlu diikuti dan beberapa arahan semasa berada dalam kem. Antara peraturan yang perlu dipatuhi adalah ketepatan masa, bertindak mengikut arahan dan kawasan-kawasan larangan bagi pelajar-pelajar lelaki dan perempuan. Kem komandan juga mengajar cara melapor diri dan ketua setiap kumpulan sentiasa peka dengan anak buahnya dan perlu melaporkan keadaan dan jumlah anak buah pada penghulu setiap kali pertemuan.
Pada jam 8.15 malam, aktiviti diteruskan dengan kepimpinan 2 iaitu ceramah bertajuk “Jati Diri Pemimpim, Kemahiran, & Cabarannya” yang disampaikan oleh En. Mohd Rugba bin Othman iaitu kaunselor MRSM Balik Pulau. Ceramah diselitkan dengan beberapa aktiviti agar nampak lebih menarik dan seronok. Isi ceramah banyak menyentuh kepada sifat dan ciri-ciri pemimpin yang berkesan dan cabaran yang bakal menanti seorang pemimpin pelajar. Aktiviti yang dijalankan oleh penceramah banyak menyentuh aspek-aspek yang tersirat disebalik permainan agar pemimpin dapat berfikir secara kreatif dan kritis. Pada jam 10.30 malam pelajar minum malam dan menyambung pembentangan kumpulan. Terdapat lima kumpulan yang dibentuk dan ahli-ahlinya dicampurkan dikalangan BWP, LDP, PRS dan PSP. Pelajar-pelajar selesai pembentangan pada jam 11.30 dan dibenarkan minum malam dan tidur.
Hari Kedua: Sabtu (15/05/2010)
Pelajar dikejutkan seawal jam 4.30 pagi untuk melakukan qiamulail dan kuliah subuh. Penceramah luar yang dijemput dari pihak kem mengutarakan peranan pemimpin dan pembentukan nilai-nilai kepimpinan Islam. Ceramah juga banyak menyentuh tentang akidah dan kepentingan ibadah dalam pembentukan sahsiah seorang pemimpin. Aktiviti pagi diteruskan dengan senaman pagi yang dikendalikan oleh pihak Kem. Senaman pagi dimulakan dengan teknik rengangan dan diteruskan dengan senam robik, chicken dance, dan tarian ponco-ponco.
Aktiviti diteruskan dengan slot kepimpinan 3 iaitu modul lepaskan ku dan kubu telur. Modul lepaskan ku dijalankan secara berpasangan yang sama jantina. Pasangan tadi diikat dengan tali raffia secara bertentangan dan diminta untuk membuka tali tersebut tanpa membuka ikatan pada tangan tersebut. Permainan ini memerlukan kesabaran dan memerlukan pelajar membuat perancangan, menganalisis dan membuat keputusan. Modul Kubu Telur pula melatih para pelajar untuk bekerjasama di dalam kumpulan dan memberi ruang kepada pelajar berfikiran kreatif. Alatan yang digunakan hanya telur dan penyedut minuman. Penyedut minuman tadi digunakan sebagai perisai untuk melindungi telur tersebut dan telur tadi akan dibaling pada paras pinggang untuk menguji ketahanannya. Aktiviti ini cuba mendedahkan pelajar tentang pemikiran kreatif dan semangat bekerjasama antara satu sama lain. Kesimpulan akhir dilakukan oleh Cikgu Mohd Radhi dengan memperkenalkan teknik IDEAL dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah iaitu Identify iaitu mengenalpasti apakah masalah utama, Describe iaitu menghuraikan kemungkinan-kemungkinan alternatif, Evaluate iaitu menilai setiap alternatif dan memilih alternative yang terbaik, Action iaitu mengambil tindakan dari pemilihan alternative tadi, Learn iaitu cuba belajar dari pengalaman dan memperbaiki jika tindakan yang diambil tidak sesuai.
Aktiviti diteruskan dengan aktiviti ikhtiar hidup dan meredah hutan. Peserta bergerak dalam satu barisan mengikut kumpulan. Aktiviti ini dibantu oleh jurulatih kem. Kemudian apabila sampai di tanah lapang yang berdekatan dengan sungai pelajar berkumpul dan memulakan ikhtiar hidup. Pelajar hanya dibekalkan dengan telur, roti, beberapa tin sardin dan beras. Pelajar hanya menggunakan alatan-alatan seperti buluh, daun-daunan untuk masak dan makan. Disini pelajar belajar bagaimana untuk menggunakan sumber hutan untuk makan dan minum.
Pada jam 3.30 petang pelajar menjalani aktiviti flying fox sehingga jam 5.30 petang. Aktiviti Flying fox ini sebenarnya ingin menguji keberanian dan keyakinan peserta. Aktiviti diteruskan dengan slot kepimpinan 4 iaitu modul lemak manis santan kelapa muda. Pelajar diarahkan untuk mencari kelapa tua dan kemudian kupas dan perlu memerah untuk dapatkan santannya. Sabut tadi di bakar bagi menandakan bahawa tugasan telah selesai. Aktiviti ini ingin melihat kerjasama dan daya tindak pelajar. Mesej yang tersirat ialah untuk mendapatkan hasil kita perlu berusaha, sabar dan bekerjasama. Pelajar dibenarkan solat, makan pada jam 6.45 petang.
Selepas solat maghrib, aktiviti kuliah diteruskan oleh Ustaz Rasdi. Isi kuliah berkisar pada kepimpinan dan ciri-ciri dan sifat-sifat kepimpinan pelajar. Ustaz Rasdi juga ada menyentuh peranan sebagai seorang pemimpin pelajar harus seimbang bukan sahaja dari segi akademik dan fizikal tetapi dari sudut kerohaniannya. Aktiviti diteruskan dengan membincangkan peranan dan tugas-tugas pemimpin. Peserta dipisahkan mengikut bidang tugas masing-masing iaitu BWP, LDP, PSP dan PRS. Penasihat setiap badan tersebut sebagai mentor dengan membincangkan peranan dan tugas dengan lebih terperinci.
Aktiviti diteruskan dengan aktiviti BBQ. Selepas tamat sahaja BBQ, aktiviti diteruskan dengan aktiviti Night Walk pada jam 12.00 tengah malam. Pelajar berjalan pada waktu malam di dalam hutan dan ditengah-tengah hutan dalam kawasan padang yang luas, pelajar duduk dan merenung keindahan alam, bunyi-bunyian cengkerik dan sesi muhasabah diri. Akitiviti diteruskan lagi dengan sesi burung hantu di mana pelajar dilepaskan seorang-seorang di dalam hutan dengan mata yang tertutup. Aktiviti burung hantu ini ingin menguji keberanian pemimpin dalam keadaan yang mencabar. Aktiviti ini tamat jam 4.45 pagi.
Hari Ketiga : Ahad (16/05/2010)
Pelajar bangun pada seawal 5.30 pagi untuk menunaikan solat subuh dengan kuliah subuh ringkas dari penceramah kem. Aktiviti diteruskan dengan senaman pagi yang dikendalikan oleh pihak kem. Pada jam 9.00 pagi program diteruskan dengan slot kepimpinan 6. Pada slot ini kaunselor Mohd Radhi menerangkan serba sedikit perancangan strategik dengan berteraskan konsep pengurusan berkualiti. Perancangan strategik berdasarkan kepada konsep SWOT (strength: kekuatan, Weakness:kelemahan, Opportunity: Peluang, dan Treat: cabaran dan ancaman) dan konsep SMART (Specific: Terperinci, Measureable: Boleh diukur, Attainable: Boleh dicapai, Realistic: Nyata, Timely: Rangka Masa). Kemudian aktiviti diteruskan dengan perancangan setiap badan. Dengan slot apa yang nak dibuat. Setiap badan seperti BWP, LDP, PRS dan PSP merancang strategik apa yang perlu dilakukan bagi tahun 2010/2011 dan diminta untuk pembentangan. Sesi pembentangan melihat sejauh mana kreativiti kumpulan dan kemahiran komunikasi di kalangan pemimpin dalam menyampaikan maklumat secara berkesan.
Pada jam 11.15 pagi, aktiviti diteruskan dengan meredah halangan. Aktiviti ini ingin menguji ketahanan fizikal dan mental dan meneguhkan kerjasama kumpulan. Fasilitator dan jurulatih membuat provokasi dan mencabar peserta agar mental peserta dapat bertahan dengan tomahan dan cabaran. Aktiviti seumpama ini dapat memberI kesedaran dan ketahanan fizikal dan mental dalam menghadapi cabaran hidup. Aktiviti ini berakhir jam 1.20 petang dan peserta dibenarkan untuk mandi di sungai bagi membersihkan kotoran.
Pada jam 1.45 pelajar kembali pada dewan dan sesi kesimpulan dan penilaian program. Peserta, jurulatih dan fasilitator diminta untuk member ulasan secara keseluruhan program dan harapan mereka untuk masa-masa akan dating. Proram tamat pada jam 3.15 petang dan semua pelajar bertolak dari kem pada jam 3.45 petang.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan